Powered By Blogger

Saturday, September 20, 2014

Ajal Maut di Tangan Tuhan

     
بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pada tanggal 23 March 2014, itulah hari yang paling menyedihkan bagiku kerana semua kenangan manis ,suka dan duka mula tercipta dan ku simpan erat dalam ingatanku. Bila mana ku mula memikirkannya air mataku mula jatuh sebagai tanda ku masih merindukannya. Wahai abangku moga kau tenang di sana dan ku doakan moga kau ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh..Amin Ya Rabbal A'lamin.

Saat abangku terlantar di atas katil pesakit dan tidak mampu berbuat apa-apa selama seminggu, aku selalu mendoakan kesejahteraannya dengan membacakan surah Yassin disisinya. Moga dia mendengar bacaanku dan kembali sihat seperti dahulu. Aku hanya mampu duduk di sisinya dan berharap setiap perkataan yang ku ungkapkan akan dibalas kembali. Aku melihatnya dengan penuh duka melihat setiap kesakitan yang dia alami. Namun ku bersyukur kerana ramai tetamu dikalangan teman-teman pengajiannya dari Madrasah Tahfiz Muzahhirul U'lum datang mendoakannya.

Aku yakin apa yang terjadi ini mungkin ada hikmahnya yang tersirat. Aku mula mengimbau kembali memoriku seminngu sebelum kejadian, itulah hari yang terakhir kalinya ku bertemu bersama abangku iaitu di hentian bas. Dia sanggup menangguhkan perjalanannya ke Kuala Lumpur atas urusan kerja semata-semata ingin menghantar adek yang di sayanginya ini ke hentian bas bagi meneruskan pengajian yang berbaki dua tahun. Dia sempat berpesan kepadaku 
"belajaq elok-elok, baca doa dan jangan gelak kuat sangat", 
aku hanya mampu tersenyum mendengar kata-katanya. Kata-kata terakhir itu masih terngiang-ngiang di telingaku.
Hanya adek dan ibuku sahaja yang menjaga abangku kerana ku ingin kembali meneruskan pengajianku yang ditinggalkan sekian lama. Tetapi takdir tidak mengizinkan..pada pukul 4 pagi, aku terima panggilan daripada adek perempuanku menyatakan bahawa abangku sedang tenat di hospital dan beberapa minit kemudian deringan nada mesej berbunyi menandakan satu mesej telah masuk ke telefonku. Aku mula membuka kotak mesej tersebut, hanya airmata sahaja yang mengalir ke pipi tanpa kata-kata.Aku terkedu...innalillahi wainna ilaihirajiu'n..aku sedar abangku telah pun meninggalkan dunia yang fana ini. 




Pada usia 24 tahun, Allah telah menjemputnya. Benarlah mati itu tidak mengira masa dan tempat. Aku mula memikirkan mungkin ini hikmahnya..aku sempat menatap wajah abangku dan mencium dahinya, ku tahan air mataku daripada terjatuh ke wajahnya. Aku mula menenangkan ibuku yang tidak henti-henti mengalirkan airmata ...bukan kerana aku tidak turut bersedih tetapi aku tidak mampu menumpahkan setitik air mataku di hadapan orang lain. Aku lihat pula wajah abahku yang sedih, itulah satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga yang banyak membantu meringankan bebanannya yang kini usianya menjangkau umur 60 tahun. Berpura-pura untuk menjadi tabah memang susah walaupun hatiku ini turut berduka.



Seusai jenazah dikapankan dan dimasukkan ke dalam van jenazah, pak cik aku bertanya siapa yang ingin menemankan jenazah yang akan dibawa pulang dari hospital ke masjid sebelum dikebumikan. Ibu dan ayahku tidak mampu untuk berkata lagi..aku membuat keputusan untuk menjadi pengganti mereka. Perjalanan yang mengambil masa sejam lebih itu kumanfaatkan dengan membaca surah Yassin. Alhamdulillah setibanya di masjid, kulihat ramai kenalan-kenlan rapat mula memenuhkan kawasan masjid bagi menyembahyangkan jenazah abangku. Kulihat sepupuku yang berumur 13 tahun turut bersedih yang kini menjadi hafiz di madrasah pak cikku dan bakal mengikuti jejak langkah abangku sebagai guru hafiz yang bermanfaat kepada semua Insha Allah.

Ada juga anak murid abangku yang datang sama-sama mendengar talkin yang dibacakan. Kehidupannya yang masih lagi bujang menyebabkan dia menjadi rapat dengan anak-anak muridnya di Sekolah Tahfiz Pulau Pangkor. Ramai juga kawan-kawan, saudara-saudara terdekat mengisahkan segala kebaikan yang dilakukannya sepanjang dia masih hidup. Sikap suka tolong-menolong yang ada padanya tanpa rungutan membuatkan mereka suka kepda drinya. Aku tidak menafikannya, abangku jarang sekali memarahiku dan menunaikan segala yang ku inginkan.




Kenangan inilah akan ku pahatkan dalam ingatanku selama-lamanya dan tidak akan aku lupakan jasamu sehingga akhir hayatku. Akan ku jadi penggantimu dan menggalas semua bebanmu dengan menjaga ibu, abah dan adekku sebagai anak sulung. 

Ku pohon pada Yang Maha Kuasa agar ditetapkan imanku untuk menjadi yang terbaik dan lebih baik lagi pada masa hadapan. Allah knows what is the best for us.

والله أعلم


No comments:

Post a Comment